PAS Mahu Pertandingan Satu Lawan Satu Di PRK Sungai Kandis

KUALA TERENGGANU – PAS hanya akan meletakkan calon dari parti itu sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei (PKR) pada 2 Julai lepas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pencapaian PAS di DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) hanya sederhana sahaja dengan mendapat 7,573 undi.

“Jadi apa yang kita harapkan, kalaulah parti pembangkang yang lain umpamanya Barisan Nasional tidak berhasrat hendak bertanding dan menjadikan pertandingan itu satu lawan satu, kemungkinan besar PAS akan meletakkan calon.

“Tapi keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tadi, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, kemungkinan (meletakkan calon) akan dipertimbangkan. Kita kaji balik lah kerana kita tak mahu perpecahan banyak undi dan akan mengulangi semula keputusan pada PRU 14 yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri PAS Pusat dan PAS Terengganu di Kuala Terengganu hari ini yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan tertinggi parti itu.

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 11.10 pagi Isnin akibat kanser limfoma.
Pada PRU 14, Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Esok, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Sungai Kandis bagi membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.