YPM Komited Sediakan Kelas Tusiyen Untuk Pelajar Miskin

YAYASAN Pelajaran Mara (YPM) komited menyediakan kelas tuisyen secara percuma kepada pelajar miskin yang kini mencecah seramai 30,000 orang.

Jumlah pelajar Tuisyen@KKLW yang dianjurkan dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO itu meningkat lebih 100 peratus berbanding hanya 13,000 pelajar pada mula ia diperkenalkan pada 2013.

Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, jumlah bilangan pelajar meningkat setiap tahun bagi memastikan pelajar yang mempunyai tahap pendidikan sederhana dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Menurutnya, sebahagian besar mereka berpotensi menjadi pelajar cemerlang namun kekangan kewangan bagi memperoleh kelas bimbingan tambahan menjadi penghalang.

“Jadi kita membantu melalui Tuisyen@KKLW di mana ia meningkat 40 peratus bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 60 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya selepas merasmikan program Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Padang Besar di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Padang Besar, di sini, hari ini.

Tuisyen@KKLW di Parlimen Padang Besar menyaksikan seramai 100 pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki SPM dan 100 pelajar sekolah rendah yang bakal menduduki UPSR terpilih menyertai kelas bimbingan percuma berkenaan.

Pusat tuisyen berkenaan memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi calon UPSR serta mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi SPM. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.