Tekong Nelayan Asing Cuba Rasuah APMM Diberkas

KEMAMAN – Tindakan biadab seorang tekong warga Vietnam cuba menyogok anggota penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) membawa padah apabila dia diberkas hari ini.

Lelaki warga asing terbabit cuba merasuah anggota penguatkuasa APMM dengan wang tunai RM1,000 dipercayai sebagai dorongan untuk dilepaskan daripada pelbagai kesalahan yang telah dikenalpasti dalam pemeriksaan di dalam sebuah bot nelayan tempatan pada pukul 12.30 tengah malam.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, kejadian berlaku sewaktu sepasukan anggota penguatkuasa APMM yang menjalankan Ops Pagar Laut dengan kapal peronda, KM Pekan sedang memeriksa bot nelayan terbabit pada kedudukan kira-kira 62 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman dekat sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 14 daripada 20 nelayan warga Vietnam yang bekerja sebagai awak-awak bot nelayan tempatan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat permit Jabatan Perikanan iaitu menangkap ikan yu yang merupakan spesies ikan yang terancam.

“Tekong bot warga Vietnam berusia 40-an tiba-tiba cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 agar mereka dilepaskan tetapi telah ditolak dengan tegas oleh anggota penguatkuasa APMM terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.