Mayat Guru Dijumpai Reput Dalam Rumahnya

SEBERANG PERAI – Misteri bau busuk dari sebuah rumah sejak beberapa hari lalu te­rungkai apabila mayat seorang guru Bahasa Inggeris dijumpai dengan sebahagian anggota badan hampir reput di ruang tamu kediamannya di Taman Seri Serdang, Kepala Batas di sini kelmarin.

Penemuan mayat, Tawfet Rosidi Ahmad, 52, di­sedari jirannya yang tinggal berhampiran rumah teres dua tingkat itu selepas terhidu bau busuk pada pukul 7 malam sebelum bertindak menghubungi polis.

Difahamkan, Tawfet yang juga guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas dan berasal dari Kubang Semang, Bukit Mertajam tinggal di kediaman berkenaan seorang diri.

Mangsa telah mengambil cuti sakit sejak Isnin namun tidak diketahui penyakit yang dihidapnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 7.15 malam.

“Sepasukan anggota forensik kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas mayat si mati yang berada di ruang tamu.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak seminggu berdasarkan keadaan fizikalnya yang hampir reput,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.