Kenapa Baru Sekarang Mahathir Minta Anwar Dibebaskan, Soal Nik Abduh

TEMERLOH – “Mengapa hanya baru sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad sedar akan nasib yang menimpa bekas musuhnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?, demikian soal PAS kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz kemudiannya menyifatkan sokongan bekas perdana menteri itu terhadap Anwar tidak lebih kerana gerak atur untuk kepentingan politiknya.

Beliau merujuk kepada sokongan Dr Mahathir beberapa hari lalu yang meminta supaya Anwar dibebaskan dari penjara, sekaligus dibenarkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Nik Abduh dalam pada itu berkata PAS sejak dari dahulu konsisten dengan pendirian supaya Ketua Umum PKR itu perlu diadili dengan adil dan saksama.

“Ia adalah kenyataan politik, walaupun ia benar.

“Pada asasnya kita sudah lama, mahu beliau dihakimi dengan adil. Sebarang usaha untuk membebaskannya kita alu-alukan.

“Cuma kenyataan Dr Mahathir terdesak. Sepatutnya perkara itu keluar sudah lama dari mulutnya kerana beliau sudah lama jadi pembangkang. Lainlah jika beliau masih di pihak Umno,” tegasnya ketika ditemui Antarapos, ketika menghadiri Majlis Ruma Terbuka Aidilfitri PAS Pusat bertempat di Kompleks Al-Makmur, Kuala Krau, semalam.

Dr Mahathir baru-baru ini mahu Anwar dibebaskan dari penjara dan diberikan kebenaran untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Bercakap dalam temubual bersama media United Kingdom, The Guardian, Dr Mahathir menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai ‘mangsa dendam politik’ dan ‘diperlakukan secara tidak adil’.

Malah bekas perdana menteri itu mendakwa keputusan mahkamah tersebut jelas dipengaruhi kerajaan memerintah dan menggesa kerajaan akan datang selepas pilihan raya meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Anwar.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas sabitan liwat, pernah dipenjarakan pada tahun 1998 ketika Dr Mahathir sebagai perdana menteri atas kesalahan salah guna kuasa. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.