FGV Setuju Beri 2 Kerusi Lembaga Pengarah Kepada Felda

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bersetuju memberikan dua kerusi dalam lmbaga pngarahnya untuk wakil Felda, bagaimanapun satu daripada kerusi itu adalah kerusi gantian.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata keputusan dicapai dalam pertemuan antara beliau dengan pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, minggu lepas.

Katanya, sebelum ini, Felda memohon tiga wakilnya diletakkan dalam Lembaga Pengarah FGV tetapi langkah itu memerlukan FGV menambah bilangan Ahli Lembaga Pengarah kepada maksimum 13 orang.

“Berdasarkan perundingan dengan FGV, mereka bersetuju memberikan dua kerusi kepada Felda, dengan satu daripadanya adalah kerusi gantian.

“Dengan persetujuan ini, bermakna keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah seramai 11 orang, iaitu tiga lantikan kerajaan, dua daripada Felda dan enam lagi merupakan lembaga pengarah bebas.

“FGV juga tidak perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa semata-mata untuk menambah ahli lembaga pengarah kerana bilangan sekarang masih termaktub dalam perlembangan syarikat,” katanya kepada pemberita ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan FGV masih terumbang-ambing, Felda tidak mahu penetapan kerusi itu dilengah-lengahkan kerana FGV boleh terkesan dengan perkara negatif.

Tambahan pula, FGV kini kehilangan beberapa individu penting, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha yang dipaksa bercuti awal Jun lalu.

Turut berdepan situasi sama ialah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar. Delima Oil merupakan anak syarikat FGV.

 

Sementara itu, Shahrir yang merupakan anggota parlimen Johor Bahru berkata, BN mahupun masyarakat Felda tidak akan terkesan dengan analisis sesetengah pihak yang mengatakan BN akan kehilangan sekurang-kurangnya lima kerusi dalam kawasan Felda pada pilihan raya umum akan datang, ekoran krisis FGV itu.

“Analisis ialah analisis. Kita tidak boleh larang tetapi pada kami (BN), kita bekerja dan tidak berhenti,” katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.