Fattah Tak Mahu Dipalit Spekulasi Liar, Hingga Jejas Nama Keluarga

KUALA LUMPUR – Beberapa kali dikaitkan bercinta dengan pasangan dalam drama baharu­nya, Fattah Amin, 27, menganggap keadaan itu tidak akan menjejaskan namanya.

Sekalipun menjelaskan ini perkara biasa dan tidak akan menjejaskan namanya, bagaimanapun menurut Fattah, dia tidak mahu dipalit spekulasi liar.

“Soal digosip bercinta bukan perkara memalukan. Saya sendiri tidak pernah anggap ia akan menjejaskan nama dan kerjaya yang sedang dibina.

“Cuma, pesan saya, jangan se­sekali membuat pelbagai spekulasi ‘liar’ tentang perkara berkenaan kerana tidak mahu menjejaskan nama keluarga,” katanya, seperti memetik Utusan.

Menurut Fattah, dia menganggap keadaan itu sebagai satu penghargaan terhadap dirinya oleh peminat dalam melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon.

“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih kerana menghargai saya sebagai salah seorang anak seni. Terima kasih juga kerana memberikan sokongan setiap kali produk saya disiarkan,” kata pelakon ini.

Nama Fattah Amin mula dikenali apabila membintangi drama Hello Mr. Perfect beberapa tahun lalu.

Drama Cinta Ibadah dikatakan menjadi pencetus ‘cinta loka­sinya’ yang pertama dan ketika itu dia bersama dengan pelakon Sherry Ibrahim yang tua lebih tujuh tahun dengannya.

Populariti pelakon ini bertambah memuncak apabila dia terlibat dengan drama Suri Hati Mr. Pilot bersama dengan Noor Neelofa, 28.

Selepas dikaitkan bercinta dengan pelakon berkenaan, namanya sekali lagi disebut-sebut sedang bercinta dengan pelakon cantik, Nur Fazura Sharifuddin, 33, pula apabila membintangi drama Hero Seorang Cinderella.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.