DAP Terus Angkuh Kata Razali

MUAR- Sikap DAP yang terus berdolak-dalik dan enggan mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) membuktikan bahawa parti itu angkuh dan seolah-olah berada di atas undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata ia menunjukkan DAP seolah-olah cuba mengatasi undang-undang apabila terus berdegil dan memberi pelbagai alasan.

“DAP kalau dia telus, dia patut perjuangkan demokrasi. Kalau berani buatlah pemilihan. UMNO tidak pernah lari daripada menjalankan pemilihan telus dan terbuka.

“Tapi DAP pula sentiasa berdolak-dalik cari alasan. ROS dah bagi tahu parti anda masih wujud cuma pemilihan 2013 tak sah. Saya nampak perkara itu patut diberi tumpuan. Kita tak boleh biarkan pihak seperti ini yang mahu mengatasi undang-undang,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Muar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Umno Muar, Datuk Ashari Md Sarip.

DAP semalam memaklumkan sudah menjalankan pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, selaras dengan arahan ROS pada 30 Julai 2013.

DAP juga dilaporkan mendakwa menggunakan 2,576 perwakilan sama pada 2012, dan sudah menyerahkan keputusan pemilihan semula itu kepada ROS pada 8 November 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.