Seorang Cedera, Lori Rempuh Pondok Tol

MELAKA – Dua  pondok tol di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, semalam dirempuh sebuah lori lapan tan mengakibatkan seorang jurutol yang bertugas di situ, cedera.

 

Dalam kejadian kira-kira 6.55 pagi itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari Kuala Lumpur dikatakan masuk ke arah plaza tol berkenaan dan hilang kawalan, lalu merempuh dua pondok tol di situ.

 

Pengurus Wilayah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Rozi Ibrahim berkata, jurutol yang cedera dikenali sebagai Nur Farazilah Yunus, 38, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan bengkak di tangan kiri akibat kemalangan berkenaan.

 

“Pada waktu kejadian, jurutol berkenaan masuk bertugas di pondok tol paling kiri (K11) berhampiran lorong motosikal pada jam 6 pagi sebelum itu.

 

“Bagaimanapun, tiada petugas di pondok tol di sebelahnya (K10) yang turut dirempuh lori itu.  Malah, kejadian tidak menyebabkan kesesakan kerana berlaku pada waktu pagi,” katanya di sini,  semalam.

 

Farazilah berkata, nilai kerugian bagi kerosakan kedua-dua pondok tol berkenaan dianggarkan kira-kira RM200,000.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, lori berkenaan dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pondok K11 dan pondok K10.

 

“Bagaimanapun mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hopital Melaka sebagai pesakit luar.

 

“Kita juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pemandu lori itu turut ditahan untuk diambil keterangan dan ujian saringan air kencing,” katanya.

 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.