Kes Tembak Datin Wong, 10 Individu Direkod Keterangan

KUALA LUMPUR – Polis merekod keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Datin Wong Siew Ling yang ditembak mati di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG Jalan Klang Lama di sini, kelmarin.

 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Hanafiah Arshad, berkata suami mangsa dan ahli keluarganya adalah antara 10 individu yang diambil keterangan.

 

“Tumpuan siasatan bukan saja untuk mencari pelaku jenayah terbabit, tetapi siasatan juga menjurus kepada motif pembunuhan itu sendiri.

 

“Justeru, siasatan dijalankan meliputi segala aspek, termasuk kemungkinan ia berpunca daripada musuh atau persaingan perniagaan,” katanya.

 

Beliau berkata, polis meneliti jenis perniagaan yang dijalankan oleh mangsa serta suaminya sama ada di dalam atau di luar negara termasuk di China antaranya membabitkan perniagaan produk kosmetik, seramik, hartanah dan sebagainya.

 

“Kita akan jalankan siasatan terhadap semua rakan perniagaan mangsa serta suaminya serta mereka yang pernah berurus niaga dengan pasangan itu,” katanya.

 

Mengulas mengenai laporan media berhubung dakwaan beberapa pihak bahawa pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada skim ponzi yang dikaitkan dengan mangsa serta suaminya, Mohd Hanafiah berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

 

Bagaimanapun, polis tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung motif dan punca sebenar kejadian sehingga siasatan selesai. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.