Tindakan Permulaan Najib Terhadap WSJ Wajar – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal adalah satu perkara yang wajar bagi menepis segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

 

“Saya merasakan Najib wajar mengambil tindakan undang-undang tersebut dan menerangkan perkara ini kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini hari ini.

 

Shahrizat berkata ahli politik pada hari ini harus kuat dan menerima hakikat bahawa dunia politik sekarang amat berbeza berbanding masa lalu kerana ia bukan hanya melangkaui sempadan Malaysia tetapi turut merentasi dunia global berikutan beberapa siri kontroversi yang ditempuh oleh Perdana Menteri kebelakangan ini.

 

Jumaat lalu, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

 

Semalam, Perdana Menteri mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal berkaitan dakwaan itu.

 

Bertindak bagi pihaknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.

 

Pada majlis itu, Shahrizat menyampaikan 6,000 kotak mengandungi kain pelekat dan kuih raya kepada para anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya nanti, terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.

 

Turut hadir ialah Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Zaitun Ab Samad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Wan Abdul Rahman Abdullah.

 

Sementara itu, Parti Makkal Sakti Malaysia menggesa pihak berkuasa agar mengenal pasti dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit yang mencetuskan isu pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Presidennya Datuk R.S. Thanenthiran berkata perkara itu perlu dilakukan segera oleh Kementerian Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia berikutan perbuatan tersebut dilihat berniat menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi.

 

Tambahan pula ia disalurkan ke luar negara khususnya kepada The Wall Street Journal (WSJ) dan portal berita Sarawak Report yang berpangkalan di London. Kita berharap pihak yang berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terbabit,” katanya pada sidang media khas bagi menyokong kepimpinan Najib di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata keputusan Najib untuk mengambil tindakan undang-undang akan memberi satu pengajaran kepada mana-mana media dan media sosial agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada masa akan datang.

 

Katanya, tindakan tersebut mampu mengekang anasir-anasir luar yang ingin menjatuhkan ekonomi serta memporak-perandakan keharmonian kaum di negara ini.

 

“Kami menyokong sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri kerana ia mampu mengekang tindakan entiti yang tidak bertanggungjawab dan dengan sengaja ingin menjatuhkan kepimpinan negara secara berterusan.

 

“Selain itu, Najib juga dilihat dapat memperbetulkan keadaan dan persepsi rakyat terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau berhubung isu 1MDB,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.