Red Warriors Mula Bangkit, Pahang Kekal Dahului Liga Super

KUALA LUMPUR – Pahang mengukuhkan cengkaman pendahulu Liga Super selepas menumpaskan Sarawak 3-1, namun tumpuan peminat bola sepak semalam lebih terarah kepada kebangkitan drastik yang dipamer Kelantan apabila menumpaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Shah Alam.

 

Walaupun berdepan konflik dalaman ekoran peletakan jawatan jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan masih segar dengan kekalahan 3-0 kepada Lions XII dalam perlawanan terakhir minggu lalu, namun Kelantan masih mampu mempamer aksi bertenaga ketika menumpaskan PDRM.

 

Penyerang import dari Nigeria, Austin Amutu meletakkan The Red Warriors di depan seawal minit keempat, sebelum pemain pertahanan, Jonathan McKain menggandakan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan babak pertama.

 

Penyerang import dari Colombia, Erwin Carillo memastikan tiga mata penuh menjadi milik Kelantan apabila menjaringkan gol pada minit ke-66. Gol sagu hati tuan rumah diperoleh menerusi Mohd. Faizal Abu Bakar tujuh minit kemudian.

 

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sarawak apabila pertahanan, Zesh Rehman terlebih dahulu meletakkan Pahang di depan pada minit ke-22.

 

Sarawak cuba bangkit apabila berjaya menyamakan ke­dudukan pada minit ke-65 mene­rusi Joseph Kalang Tie, namun usaha mereka sia-sia selepas penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme meledak gol kedua lima minit kemudian.

 

Kealpaan pertahanan Sarawak pada minit ke-78 membawa padah apabila hantaran cantik daripada Hafiz Kamal berjaya disambut Azamuddin Mohd. Akil sebelum dia merembat kencang dan sete­rusnya gagal ditepis Mohd. Iqbal.

 

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Felda United rakus membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0.

 

Penyerang veteran, Indra Putra Mahyuddin muncul wira apabila meledak hatrik pada minit ke-66 (penalti), minit ke-82 dan minit ke-86 (penalti).

 

Zah Rahan Kranger melengkap­kan kemenangan 4-0, tiga minit sebelum tamat permainan.

 

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby FC terus gagal untuk mengutip tiga mata penuh apabila tewas 0-2 kepada Terengganu.

 

Dua gol kemenangan Terengganu dihasilkan oleh Ashari Samsudin pada minit ke-27 dan minit ke-80.

 

Dalam aksi di Stadium Jalan Besar, rentak cemerlang Perak mencatat tiga kemenangan berturut-turut terencat apabila tewas 1-2 kepada Lions XII meskipun skuad kendalian Datuk M. Karathu terlebih dahulu berada di depan.

 

Kekalahan tersebut menjadikan Perak ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, malah turut membuka peluang kepada Selangor untuk merapatkan jurang apabila Red Giants itu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), minggu depan.

 

Penyerang Korea Selatan, Namkung Woong terlebih dahulu meletakkan The Bos Gaurus di depan seawal minit ke-12 selepas me­nerima hantaran cantik daripada pertahanan, Muhammad Tuah Iskandar Jamaluddin.

 

Bagaimanapun Hafiz Sujad menafikan jaringan Perak apabila pemain berusia 25 tahun itu berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama.

 

Juara Piala FA 2015, Lions XII memastikan tiga mata penuh perlawanan menjadi milik mereka apabila pertahanan, Safuwan Baharudin meledak gol kemenangan pada minit ke-53. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.