Najib Akan Guna Dana Petronas Seperti Mahathir Lakukan Dulu, Kata Rafizi

KUALA LUMPUR – PKR tidak menolak kemungkinan dana Petronas akan digunakan sekali lagi bagi menyelamatkan syarikat atau agensi kerajaan yang bermasalah termasuk syarikat pelaburan 1Malaysia Develepoment Berhad (1MDB).

 

Naib Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan “talian hayat” itu sebagai pilihan utama untuk menyelesaikan masalah syarikat yang sarat dengan hutang itu dengan alasan sebagai salah satu pelaburan.

 

“Apatah lagi kerana Tun Razak Exchange begitu rapat dengan KLCC, mungkin boleh digunakan alasan, ia sebahagian daripada pelaburan Petronas dalam hartanah di sekitar KLCC.

 

“Semasa zaman Tun Dr Mahathir pun wang Petronas digunakan untuk menyelamatkan Bank Bumiputera, Proton, MISC dan termasuk juga syarikat perkapalan milik anak bekas Perdana Menteri itu sendiri,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

 

Beliau berkata demikian mengulas tulisan komentar di laman Wall Street Journal (WSJ) yang memberi amaran bahawa dana Petronas mungkin akan digunakan untuk menyelamatkan 1MDB sekiranya pelaburan syarikat itu menemui kegagalan.

 

Amaran itu dibuat WSJ berdasarkan penelitian ke atas perkembangan isu tersebut, apabila 1MDB kini terpaksa menjual asetnya bagi menampung beban hutang.

 

Ditanya tentang sebarang cara untuk menghalang dana Petronas daripada disalahgunakan bagi tujuan tersebut, Rafizi berkata lagi ianya agak mustahil melainkan Perdana Menteri dilucutkan jawatan atau 1MDB itu ditutup.

 

“Ianya juga boleh berlaku sekiranya BN kalah pada PRU14. Selagi BN berkuasa dan juga Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, risiko dana Petronas itu digunakan memang tinggi,” katanya lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.