Polis Tahan Dua Individu Terlibat Aktiviti Militan IS

KUALA LUMPUR – Dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS yang berpangkalan di Syria merancang untuk melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang,  diberkas dalam serbuan berasingan di ibu kota.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek pertama berusia 28 tahun ditahan pada 2 Julai lalu.

 

“Individu yang berasal dari Kuala Lumpur itu dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa warga Eropah yang merupakan anggota kanan kumpulan pengganas IS di Syria.

 

“Sejak pertengahan tahun lalu, dua anggota kanan kumpulan pengganas IS warga Eropah dipercayai telah memberi arahan kepada suspek agar melancarkan serangan ke atas kepentingan barat di Kuala Lumpur dan tempat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurutnya, suspek yang mula terdedah dengan ideologi kumpulan pengganas sejak 2012 itu juga mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, rakyat Malaysia yang terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria, 9 November lalu.

 

“Suspek kedua berusia 31 tahun pula diberkas Selasa lalu itu pernah menganggotai kumpulan pengganas IS pada awal tahun lalu sehingga Ogos tahun lalu, sebelum kembali ke Malaysia kerana cedera dalam pertempuran di Syria.

 

“Kedua-dua suspek telah mengadakan beberapa pertemuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak penghujung tahun lalu bagi membincangkan perancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

 

Khalid berkata, tangkapan terbaru yang membabitkan suspek warga tempatan yang merancang untuk melancarkan serangan selepas berkomunikasi dengan anggota kanan kumpulan pengganas IS di Syria merupakan trend terbaru yang amat membimbangkan.

 

“Ini selari dengan modus operandi serangan terbaru oleh individu-individu yang sama ada bersimpati, terpengaruh dengan ideologi pengganas atau menerima arahan dari anggota kanan IS di Syria bagi melancarkan serangan di negara masing-masing seperti serangan di Tunisia, Perancis dan Kuwait pada penghujung  tahun lalu,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya turut merampas buku-buku mengenai jihad dan fahaman Salafi Jihadi serta resit pembelian barangan taktikal pertempuran dalam serbuan itu.

 

“Kedua-dua suspek itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.