Kerajaan Peruntuk RM25 Juta Bantu Sekolah Agama Rakyat

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM25 juta untuk diagihkan kepada 553 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negara.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu merupakan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu perkembangan pendidikan Islam di negara ini.

 

“Bantuan itu menunjukkan bahawa kita sentiasa memberi perhatian dan tidak pernah meminggirkan agenda pembangunan pendidikan Islam,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Menteri bersama Warga Pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pendidikan Islam Kampus Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

 

Penyerahan bantuan kewangan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

 

Bantuan RM25 juta itu diagihkan mengikut jumlah pelajar dan bilangan SAR di setiap negeri.

 

Negeri-negeri yang menerima bantuan tersebut adalah Johor (RM3.1 juta), Kedah (RM3.6 juta), Kelantan (RM3 juta), Melaka (RM410,00) dan Negeri Sembilan (RM500,000).

 

Turut menerima bantuan Pahang (RM1.9 juta), Perak (RM2.48 juta), Perlis (RM449,000), Sabah (RM1.19 juta), Sarawak (RM438,160), Selangor (RM5.01 juta), Terengganu (RM270,000) dan Kuala Lumpur (RM929,000).

 

Pada majlis itu, seramai 80 murid dari tujuh buah sekolah rendah sekitar Bangi menerima sumbangan hari raya daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.