‘Jika Degil, Mungkin Saya Akan Mati’ – Yazid Search

KUALA LUMPUR – Pemain drum kumpulan Search, Yazid terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang daripada penderma organ ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

 

Yazid atau nama sebenarnya, Yazid Ahmad, 53, berkata, pakar kardiologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan jantungnya hanya berfungsi di bawah paras 50 peratus dan keadaan itu berisiko untuk melakukan pembedahan.

 

“Menurut kata doktor masalah penderma bukan isu utama tetapi keadaan pesakit itu sendiri sama ada dalam keadaan stabil atau pun tidak untuk melakukan pembedahan.

 

“Malangnya jantung saya mengalami masalah dan tidak sesuai untuk melakukan pembedahan dan sekiranya saya berdegil juga mungkin saya akan mati,” katanya kepada mStar Online.

 

Bekas Pengurus Besar BMG Music, Datuk Aziz Bakar turut hadir pada lawatan tersebut dan meluangkan masa hampir satu jam bersama Yazid.

 

Yazid terlantar di HKL sejak awal Ramadan lalu selepas jantungnya mengalami jangkitan kuman.

 

Dalam pada itu, Yazid berkata, doktor yakin keadaan jantungnya akan bertambah baik selepas menerima rawatan sebelum pemeriksaan dilakukan semula untuk memastikan dia sesuai untuk menjalani pembedahan.

 

Bagaimanapun kata Yazid, dia mungkin terpaksa menunggu tiga tahun lagi kerana keutamaan akan diberikan kepada pesakit yang sudah menjalani rawatan dialisis lebih daripada 10 tahun.

 

“Saya tidak berputus asa kerana harapan itu masih ada untuk saya sembuh dan bangkit semula,” jelasnya.

 

Sementara itu, Yazid berkata, dia terharu apabila hampir 50 peminat setia melawatnya di hospital untuk bertanya tentang keadaannya baru-baru ini.

 

Jelasnya, lawatan tersebut begitu bermakna kerana ia dapat melupakan tentang kesakitan yang ditanggungnya selama ini.

 

“Selain isteri dan anak-anak, kehadiran peminat membuatkan saya gembira dan lupa tentang penyakit.

 

“Baru-baru ini hampir 50 peminat datang untuk bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada saya untuk terus berjuang,” tuturnya.

 

Ditanya mengenai anggota Search, Yazid memberitahu tiada wakil daripada kumpulan itu datang melawatnya di hospital namun menganggap perkara itu hak masing-masing.

 

“Terpulang kepada mereka sama ada hendak datang atau pun tidak, saya tidak boleh paksa,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Yazid berkata, Aidilfitri pada tahun ini dia berharap dapat pulang ke rumah untuk menyambut perayaan itu bersama isteri, Ramlah Ahmad dan anak-anak mereka.

 

Malah kata Yazid, dia bercadang untuk bercuti di pulau bersama keluarga bagi menenangkan fikiran selepas lama terlantar di hospital.

 

“Insya Allah, jika dibenarkan keluar hospital dapatlah berhari raya dengan keluarga di rumah dan ada juga cadangan untuk bercuti di pulau,” jelasnya. – Mstar

One thought on “‘Jika Degil, Mungkin Saya Akan Mati’ – Yazid Search

  • September 24, 2015 at 2:57 am
    Permalink

    Semoga yazid cepat sembuh

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.