Ibu Kejam, Biarkan Anak Hidup Dalam Kandang Babi

BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di China, ditemukan tinggal di dalam kandang babi akibat kekejaman ibunya, menyebabkan dia tidak mampu bercakap dengan manusia.

 

Kanak-kanak itu dijumpai dalam keadaan menyedihkan oleh pekerja sosial tempatan di sebuah kandang babi di rumahnya di bandar Fangyu dekat wilayah Hennan dengan keadaannya diselaputi najis dan kotoran termasuk kesan lebam dan luka di seluruh tubuh.

 

Malah, terdapat dakwaan yang menyatakan ibu bapa kanak-kanak itu turut mengabaikan kebajikan tiga anak yang lain sehingga menyebabkan semua mereka mati, manakala anak keempat pula dipelihara oleh ibu saudara mereka sejak dilahirkan.

 

Insiden berkenaan mula menarik perhatian ramai selepas gambar kanak-kanak tersebut sedang me­nunggang seekor babi di belakang rumah tersebar di media sosial.

 

Menurut media, kanak-kanak bernama Liu Hongbo sering menangis akibat dipukul ibunya.

 

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, ibu kanak-kanak terbabit seolah-oleh tidak mempunyai perasaan apabila hanya tersenyum jika penduduk tempatan meminta dia menghentikan perbuatannya.

 

“Ibu kanak-kanak itu selalu memukul dan mencampak anaknya keluar dari rumah,” kata jiran itu seperti dilaporkan portal Daily Mirror.

 

Ketika ditemukan, kanak-kanak itu sedang tidur di luar rumahnya di atas timbunan pakaian di kandang babi yang kosong dan badannya berbau seperti haiwan tersebut.

 

Namun, pekerja sosial terlibat tidak dapat membawa kanak-kanak malang tersebut untuk mendapatkan perlindungan dan penjagaan yang lebih baik kerana mereka memerlukan kebenaran pihak berkuasa untuk campur tangan.

 

Portal iCrossChina melaporkan, kanak-kanak itu dihantar untuk tinggal bersama ibu saudaranya dan dimasukkan ke hospital tempatan untuk pemeriksaan fizikal.

 

Menurut pakar perubatan, Hongbo tidak boleh berkomunikasi dan memerlukan masa untuk bergaul dengan masyarakat bagi membolehkan dia bercakap dan menjalani kehidupan normal. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.