DAP Jangan Bongkak Dan Sombong, Kata Pemimpin PAS

GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat sengaja menyerang Pas dengan menggelarnya sebagai musuh hanya kerana membawa kes pemecatan wakil Pas dalam kerajaan negeri ke mahkamah.

 

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, tuduhan Guan Eng itu tidak matang, prejudis, provokatif dan tidak profesional.

 

Menurutnya, Guan Eng dibayangi ketakutan hingga sanggup menggelar Pas sebagai musuh walaupun parti itu masih lagi bersama dalam PR.

 

“Apakah alasan Guan Eng untuk melabelkan Pas sebagai musuh kepada kerajaan negeri?

 

“Adakah kerana Pas tegas mengheret isu pemecatan yang dibuatnya ke mahkamah, sudah layak untuk dikategorikan sebagai musuh?

 

“Amat malang sekali jika Guan Eng memilih untuk bermusuhan sedangkan umum mengetahui pemecatan yang dibuat itu adalah keterlaluan,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sebelum ini, sebuah portal memetik Guan Eng sebagai berkata, Pas sudah menunjukkan dengan jelas bahawa ia adalah musuh kerajaan negeri dengan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan pemecatan wakil mereka dalam pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Menurutnya, jika Pas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri, maka parti itu sudah menjadi seperti pihak lawan.

 

Kenyataan Guan Eng itu susulan dari cadangan Pas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemecatan dua ahli majlis PBT iaitu Yacoob Omar dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Omar Hassan dari ajlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

Turut dipecat Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai pegawai penerangan gred 41 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, Mohd Yusni berkata, jika tindakan Pas membawa isu pemecatan ke mahkamah diertikan sebagai permusuhan, maka dengan sendirinya Guan Eng menjustifikasikan tindakan pemecatan itu sebagai satu kezaliman.

 

Ini kerana pemecatan yang dibuat itu tidak lebih dari sikap gopoh Guan Eng dalam menafsirkan usul yang berlegar sewaktu Muktamar Tahunan Pas ke-61 baru-baru ini.

 

“Jika diamati usul Dewan Ulama Pas Pusat, Guan Eng tidak perlu melatah dan tergopoh gapah mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli Pas yang masih bekerja dalam pentadbiran negeri.

 

“Apatah lagi Majlis Syura Ulama Pas sebagai eksekutif tertinggi parti tidak memuktamadkan sebarang pendirian berhubung usul itu. Maka adalah tidak adil Guan Eng bertindak terburu-buru memecat mereka yang terbabit dan menuduh Pas sebagai musuh,” katanya.

 

Mohd Yusni turut mengingatkan Guan Eng bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak akan tertegak jika DAP tidak membentuk kerjasama dengan Pas dan PKR.

 

“Usah bongkak dan sombong dengan kemenangan yang dilakar kerana diraih hasil titik peluh petugas khususnya ahli Pas yang bertungkus lumus bekerja menentang Umno-BN,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.