Ada Dalang Di Sebalik Tuduhan Salur Dana 1MDB Ke Akaun PM

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya ada dalang di sebalik dakwaan penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun Perdana Menteri.

 

Hishammuddin berkata ini kerana sejak kebelakangan ini serangan terhadap kepimpinan negara dan kerajaan dilihat bertalu-talu termasuk dakwaan terbaru itu.

 

Bagaimanapun, beliau beranggapan perkara berkenaan sebagai asam garam dunia tanpa sempadan.

 

“Ini tak unik kepada negara kita sahaja,” katanya kepada pemberita sebelum menyertai majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

 

Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud dalang di sebalik dakwaan berkenaan.

 

Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada 1MDB disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Berikutan itu sebuah pasukan khas dianggotai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed ditubuhkan.

 

Semalam, pasukan petugas khas itu mengarahkan enam akaun bank individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut dibekukan.

 

Ditanya pandangannya terhadap pasukan petugas khas berkenaan, beliau yakin anggotanya adalah di kalangan mereka paling berwibawa, justeru berharap rakyat tenang, tidak emosi dan menunggu siasatan sepenuhnya selesai.

 

“Akhirnya yang benar tetap benar kita jangan terikut-ikut dengan tuduhan tidak ada asas kukuh, tidak ada bukti.

 

“Jangan buat spekulasi memecahbelahkan perpaduan sesama kita, dan menuduh orang yang mungkin tak bersalah,” katanya.

 

Najib semalam dilaporkan mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap WSJ berkaitan artikel berkenaan.
Bertindak bagi pihaknya ialah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya dalam tempoh 14 hari berkaitan dakwaan dalam artikel itu yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai lepas.

 

Mengulas mengenai tindakan berkenaan, Hishammuddin beranggapan ia merupakan jalan terbaik. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.