Sultan Muhammad V Sertai Qiamulail

Kota Bharu – Ramadan tahun ini merupakan kali ketiga Sultan Muhammad V dijangka berangkat pada program qiamulail bersama rakyat bermula jam 4 pagi.

Program tersebut akan diadakan pada 25 Julai ini di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Baginda bersama Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra menyertai qiamulail sebelum santapan sahur dan solat Subuh berjamaah.

Program ‘Qiam With Me’ itu bermula jam 9 malam 24 Julai di mana Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat tarawih dan kira-kira 10.30 malam Sultan Kelantan dijangka mengurniakan zakat kepada seramai 1,435 asnaf.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC), Mohd Hariff Ghazali berkata, program tersebut merupakan antara pengisian tahunan Qaryah Ramadan di Kelantan.

“Program terbabit diadakan bermula solat Isya sehingga 6.30 pagi keesokan harinya. Ia juga diisi dengan ‘moreh minda’ ikon anak muda Ustaz Azhar Idrus,” katanya di sini semalam.

Beliau juga berkata, program berkenaan merupakan sebahagian pelan transformasi ummah dalam teras pertama (faqihin) untuk melahirkan masyarakat bertaqwa.

“Bahkan ia merupakah galakan bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan secara berjamaah segenap lapisan masyarakat Islam di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya juga program berkonsep “10:20:10” iaitu bermaksud 10 malam terakhir Ramadan, 20 rakaat solat tarawih dan 10 rakaat solat tahajud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.