Selebriti Turut Sedih Serangan Ke Atas Gaza

Kuala Lumpur – Selebriti tempatan melahirkan rasa sedih terhadap saudara Islam di Gaza yang diserang tentera Israel, ketika waktu bersahur pada awal pagi Selasa.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor yang baru tampil dengan imej berhijab, memohon pengikut laman sosialnya, Instagram untuk menyebarkan risalah berhubung serangan itu bagi memohon doa.

“Tolong, tolong, tolong ambil tahu.Tolong sebarkan kesedaran. Tolong doakan. Tolonglah, kawan-kawan jika masih ada perikemanusiaan,” rayunya kepada pengikutnya.

Selain Neelofa, pelakon Tiz Zaqyah juga melahirkan simpati terhadap umat Islam yang terkorban di bumi Palestin, ketika sedang mengerjakan ibadat puasa, dengan memuat naik sekeping gambar rakyat Palestin sedang melakukan solat jenazah.

“Mereka mengerjakan solat enam kali sehari berbanding lima sahaja,” tulisnya dengan menggambarkan aktiviti solat jenazah dilakukan setiap hari untuk mangsa serangan.

Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya 12 terbunuh, selepas diserang pesawat tempur tentera Israel, dengan melepaskan bedilan roket ke Semenanjung Gaza sejak awal pagi Selasa, dalam kempen terbaru rejim Zionis di wilayah itu.

Di tengah Gaza pula, bedilan roket Israel terkena sebuah kereta, menyebabkan lima terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.