Samseng Jalanan Terima Padah,Kena Enam Jahitan Di Kepala

KUCHING: Padah menimpa seorang samseng jalanan, apabila dia bukan sahaja menerima enam jahitan di kepala, malah turut berhadapan tindakan undang-undang setelah dia mencederakan seorang wanita berikutan satu kemalangan kecil kelmarin.

 Menurut sumber, kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Bako di sini apabila suspek, 20, yang menunggang motosikal melanggar bahagian hadapan kereta yang dipandu seorang wanita sekitar jam 5 petang.

Ekoran kemalangan tersebut, suspek dikatakan naik berang lalu menghempas topi keledarnya ke muka wanita berkenaan yang ketika itu baharu keluar dari keretanya untuk melihat keadaan suspek.

 “Suspek yang dalam keadaan marah terus menghempaskan topi keledarnya ke muka mangsa sebelum turut cuba menyerang ibu mangsa kerana cuba meleraikan insiden tersebut.

 “Mujur kejadian tersebut disaksikan beberapa orang awam yang kemudian terus membantu mangsa, selain turut memujuk suspek agar bertenang,” kata sumber.

 Keadaan bagaimanapun menjadi lebih tegang apabila suspek dikatakan bertindak agresif dengan turut memukul beberapa orang awam di tempat kejadian.

“Suspek yang ‘naik gila’ itu kemudian berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

 Suspek yang juga mengalami kecederaan di kepalanya telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

 Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek akan ditahan reman sementara siasatan masih dijalankan.

 “Bertindak kepada laporan yang dibuat oleh mangsa, suspek berjaya ditahan di HUS sekitar jam 1 pagi tadi (semalam) selepas dia mendapatkan rawatan kerana cedera di kepada dengan enam jahitan,” kata Roslan.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.