Remaja Dicekup, Disyaki Rogol Budak Lapan Tahun

DEBAK: Seorang remaja ditahan selepas dipercayai merogol kanak-kanak berusia lapan tahun di kawasan kebun Kampung Lalang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang kelmarin, remaja terbabit, 16, dipercayai membawa kanak-kanak tersebut ke kawasan kebun berkenaan lalu merogolnya.

Menurut seorang saksi, beliau yang kebetulan hendak pulang ke rumah dari kebun melalui tempat kejadian dan terdengar jeritan mangsa sebelum ternampak seorang lelaki (suspek) duduk di atas badan mangsa.

Katanya, dia bertindak mendekati suspek dan cuba menangkapnya, namun suspek berjaya melarikan diri ke arah belukar.

“Saya cuba menangkap dan memegang baju suspek, tetapi suspek meronta-ronta dan berjaya melepaskan diri ke dalam hutan,” ujarnya.

Kemudian, katanya, beliau membawa mangsa yang masih trauma dan kesakitan membuat laporan polis di Balai Polis Debak.

Polis dan orang kampung yang dimaklumkan perkara tersebut bertindak mencari suspek, namun tidak berhasil.

Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong diketuai oleh Inspektor Saiful dikerahkan untuk mencari bahan bukti dan mengesan suspek.

Mereka berjaya menangkap suspek ketika cuba melarikan diri di hadapan IPD Betong sekitar jam 11 malam kelmarin.

Suspek kini direman untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mangsa pula dibawa ke Hospital Betong untuk pemeriksaan, namun dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching untuk pemeriksaan lanjut.


http://www.theborneopost.com/2014/07/09/remaja-dicekup-disyaki-rogol-budak-lapan-tahun/#ixzz36wjZv1AG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.