Pesta Bola Merdeka Dibatalkan

Petaling Jaya – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa membatalkan Pesta Bola Merdeka pada tahun ini, bagi memberi laluan kepada persiapan skuad Harimau Muda untuk menghadapi Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bermula 19 September nanti.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee itu akan berlepas ke China pada awal September ini, bagi menjalani latihan persiapan dan perlawanan persahabatan di sana, sebelum ke Incheon.

“Pasukan perlawanan persahabatan akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan jurulatih baru Harimau Malaya, Dollah Salleh, di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, semua perlawanan Piala Malaysia yang bertindih dengan tarikh perlawanan persahabatan antarabangsa akan ditunda, bagi membolehkan skuad Harimau Malaya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF di Singapura dan Vietnam, dari 22 November hingga 20 Disember ini.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat pengesahan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan pasukan Tajikistan pada 6 Ogos dan Jordan (11 Oktober), manakala perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapura dan New Zealand masih dalam peringkat perbincangan.

Jelasnya, perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan terpaksa dibatalkan, apabila pasukan negara itu tidak dapat beraksi pada tarikh yang dicadangkan FAM.

Mengenai status kontrak Dollah, Hamidin berkata, FAM dan bekas majikan Dollah, iaitu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencapai persetujuan.

Dollah, selaku ketua jurulatih skuad Liga Perdana PDRM, mempunyai kontrak bersama PDRM sehingga 30 November ini.

“FAM memberi kelonggaran kepada Dollah untuk membimbing pasukan lamanya pada saingan Piala Malaysia yang bermula Ogos ini, sebelum mereka menerima jurulatih baru,” katanya.

Penaung pasukan bola sepak PDRM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meletakkan dua syarat, iaitu hanya akan melepaskan Dollah, selepas mendapat jurulatih gantian dan ganti rugi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.