Mualaf Rayu Sumbangan, Biaya Kos Mahkamah Hak Jagaan Anak

Seorang mualaf, Muhammad Riduan Abdullah merayu sumbangan bagi membiaya kos guaman untuk rayuan ke atas keputusan mahkamah yang memberi hak jagaan anak kepada bekas isterinya.

Laporan Harakahdaily menyebut, Muhammad Riduan, 45, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak mampu untuk membiaya kos bagi bawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini memutuskan bekas isterinya Indira Gandhi berhak menjaga tiga orang anak mereka.

Menurut laporan itu, Riduan juga merindui dua orang anaknya, Abu Bakar (nama asalnya Karan Dinish), 16 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 17 yang kini tinggal bersama Indira.

Menurut Riduan, beliau berpeluang bertemu dengan dua remaja tersebut pada pengujung 2009, selepas anaknya itu diislamkan pada Mac tahun itu.

“Mereka cukup rapat dengan saya. Malah perjumpaan kali terakhir tersebut saya sempat membawa mereka makan di McDonald’s. Mereka gembira sekali.

“Malah mereka tanya mengapa saya tidak membawanya pergi untuk bersama adik bongsu,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Menurutnya, anak bongsu mereka, Ummu Habibah, 6 (Prasana Diksa) bagaimanapun masih tinggal bersamanya.

“Kalau terkenang kisah itu saya cukup terkilan kerana mereka amat sedih berpisah dengan saya. Mereka mahu ikut saya pergi bersama adiknya,” katanya.

Sementara itu, peguam kepada Indira, M Kulasegaran berkata beliau terkejut apabila mengetahui Riduan tidak mampu menanggung kos guaman sehingga terpaksa mendapatkan sumbangan dari orang awam.

Katanya, Indira memberitahunya bahawa Riduan sering berkunjung ke negara jiran tetapi tidak bekerja.

“Lebih mengejutkan beliau lagi adalah dakwaan Riduan bahawa dua lagi anak tersebut mahu tinggal bersama bapa. Menurut Indira, ini jauh menyimpang dari perkara sebenar.

“Walhal, (Riduan) tidak memberi wang untuk dua anak tersebut dan tidak mengunjungi mereka sejak 2009.

“Apa yang beliau seharusnya buat ialah mengembalikan Prasana Diksa kepada keluarga di Ipoh dan memohon maaf atas kebimbangan dan penderitaan yang dilakukannya,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.