Ketiadaan Kepimpinan Berkesan Boleh Mengundang Kucar-Kacir – Najib

Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ketiadaan kepimpinan berkesan boleh mengundang keadaan kucar-kacir serta menyebabkan kegagalan sesebuah negara.

Merujuk kekalahan pasukan bola sepak Brazil kepada pasukan Jerman 7-1 pada pusingan separuh akhir bola sepak Piala Dunia awal pagi Rabu, Najib menyimpulkan kekalahan itu akibat ketiadaan kepimpinan berkesan, yang menyebabkan pertahanan pasukan itu kucar-kacir.

“Kalau itu boleh berlaku kepada sebuah pasukan bola, cuba bayangkan apa yang boleh berlaku kepada sebuah negara, kalau tidak ada kepimpinan berkesan yang mempunyai visi, komitmen dan menjiwai aspirasi rakyat,” katanya ketika berucap sempena majlis penyerahan rasmi anggota Program Felo Perdana (PFP) kepada jemaah menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

PFP diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk memberi peluang kepada modal insan negara merasai sendiri pengalaman tadbir urus awam dengan ditempatkan di bawah menteri-menteri Kabinet selama enam minggu sehingga enam bulan.

Najib berkata program PFP dapat mempersiapsiagakan barisan kepimpinan generasi akan datang untuk persediaan terancang.

“Supaya bila tiba masanya kita mempunyai ramai barisan pemimpin terlatih dan ada pengalaman yang mampu membawa obor kepimpinan negara ke tahap lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau berharap peserta PFP dapat menimba pengalaman baharu dan menjadi pemimpin generasi muda berkualiti yang boleh memikul amanah daripada generasi kepimpinan sedia ada.

“Kejayaan kita pada hari muka tidak hanya bergantung kepada segulung ijazah yang dimiliki tetapi soal kematangan berfikir, bertindak dan berinteraksi, semua itu hanya dapat diperoleh jika ada pengalaman.

“Tidak ada tempat lebih baik untuk mendapatkan pengalaman itu dengan bersama-sama anggota Kabinet pemimpin negara yang mungkin tidak boleh diperoleh di tempat lain,” katanya.

Perdana menteri berharap semua peserta dapat menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin dan berinteraksi dengan rakan yang lain serta menasihatkan agar mereka tidak bekerja secara secara ‘silo’ atau lohong sebaliknya merentasi pelbagai agensi dan kementerian.

“Supaya dengan cara seperti itu kita dapat bertindak sebagai sebuah kerajaan.

“Dalam dunia yang lebih mencabar serta persekitaran lebih kompleks, ia menuntut untuk kita memahami dengan lebih jelas dan jika kita faham insya-Allah kita akan menjadi insan lebih berjaya,” katanya.

Pada tahun ini sebanyak 84 peserta dipilih daripada 1,400 permohonan dari kalangan mahasiswa serta graduan berumur di bawah 30 tahun dan akan ditempatkan di pelbagai kementerian.

One thought on “Ketiadaan Kepimpinan Berkesan Boleh Mengundang Kucar-Kacir – Najib

  • July 9, 2014 at 5:09 pm
    Permalink

    Najib kata dekat diri sendiri ke???wakakkaka

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.