Kerajaan Persekutuan sedia RM470 juta kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi 2016

PUTRAJAYA 8 Julai – Majlis Kewangan Negara yang bermesyuarat hari ini bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan RM470 juta kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi tahun 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM190 juta merupakan pembiayaan caruman kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM280 juta lagi diberi berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Kewangan Negara pada masa yang sama meluluskan caruman tambahan bagi tahun sebelumnya iaitu 2015 sebanyak RM50 juta.

“Mengambil kira caruman yang telah diluluskan terdahulu, ia menjadikan caruman untuk 2015 yang disediakan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM480 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2014 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong; menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Najib berkata, Majlis Kewangan Negara turut berbincang mengenai prestasi perbelanjaan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri yang prestasi perbelanjaan keseluruhannya masih tidak memuaskan.

“Pada tahun 2013, kerajaan negeri membelanjakan RM2.93 bilion atau 82.1 peratus daripada RM3.57 bilion yang disalurkan Kerajaan Persekutuan.

“Prestasi ini adalah lebih rendah berbanding 2012 apabila kerajaan negeri membelanjakan 91.2 peratus atau RM2.59 bilion daripada RM2.85 bilion yang disalurkan,” katanya.

Najib berkata, Kerajaan Persekutuan turut menegaskan kepentingan negeri-negeri meningkatkan prestasi penggunaan dana tersebut yang bertujuan memastikan kemudahan jalan raya di peringkat negeri diselenggara dengan berkesan.

“Prestasi perbelanjaan pemberian ini akan dipantau dengan lebih rapi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Majlis Kewangan Negara bersetuju supaya Jawatankuasa Hasil Negeri ditubuhkan untuk membantu negeri mengenal pasti sumber hasil baharu selain meningkatkan kecekapan kutipan hasil termasuk mengurangkan ketirisan.

 http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140709/dn_04/Kerajaan-Persekutuan-sedia-RM470-juta-kepada-Kumpulan-Wang-Rizab-Negeri-bagi-2016#ixzz36wR1Edm7 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.