Kem Lawan Serang Khalid?

SHAH ALAM 8 Julai – Serangan yang dilancarkan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak kebelakangan ini dipercayai digerakkan oleh pihak tertentu dari kem lawan yang gagal mendahului persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut sumber dari kem Abdul Khalid, usaha terancang berkenaan sememangnya diketahui oleh Menteri Besar Selangor itu yang ketika ini dikatakan mendahului persaingan jawatan tersebut berbanding dua pencabarnya dengan lebih 2,000 undi.

Sumber terbabit turut memaklumkan, selain memenangi tujuh cabang PKR di Selangor, Abdul Khalid turut memenangi beberapa cabang di Sabah antaranya di Tenom, Pensiangan dan Keningau.

“Ini yang membuatkan ada pihak tidak senang duduk dan bimbang dengan kedudukan Abdul Khalid yang mendorong wujudnya serangan-serangan dan tekanan tertentu supaya Menteri Besar Selangor itu berundur.

“Selain itu, tidak menolak kemungkinan juga, serangan dan tekanan tersebut adalah untuk mempengaruhi cabang-cabang PKR yang belum mengadakan pemilihan semula supaya menolak Abdul Khalid sebagai Timbalan Presiden parti itu.

“Malah tekanan itu juga dibuat dengan harapan Abdul Khalid merasa putus asa seterusnya menarik diri daripada pemilihan berkenaan atau meletak jawatan sebagai Menteri Besar sebelum pengumuman rasmi pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, sumber tersebut menjangkakan serangan dan tekanan terhadap Abdul Khalid akan semakin kuat sebelum pemilihan semula PKR yang berakhir Ogos ini.

Kelmarin, media dimaklumkan mengenai penyebaran maklumat palsu mengenai Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar menerusi laman sosial termasuk Twitter, blog dan WhatsApp.

Selain itu, terdapat penyebaran maklumat yang kononnya dikeluarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengenai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad telah diperkenan oleh Sultan Selangor sebagai Menteri Besar baharu.

Bernama bagaimanapun menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya memaklumkan ada pihak tertentu menggunakan nama agensi itu menyebarkan berita tersebut.

Abdul Khalid sendiri pun semalam turut menafikan berita tersebut dan meminta pihak tidak bertanggungjawab supaya menghentikan perbuatan sedemikian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140709/po_01/Kem-lawan-serang-Khalid#ixzz36wNGGHa7 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.