Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Membunuh Pelancong Perancis

Kuantan – Seorang pekedai pada Rabu dijatuhi hukuman mati selepas mahkamah mendapati beliau bersalah membunuh seorang pelancong Perancis di sebuah pulau peranginan.

Mendiang Stephanie Foray, 30, hilang di Pulau Tioman, Pahang pada Mei 2011.

Mayat mangsa yang telah separa diawet ditemui kira-kira tiga bulan kemudian dan ditanam di dalam sebuah gua di pulau itu.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas seorang lagi pelancong asing dari Britain, Gareth Huntley hilang di pulau yang sama dalam keadaan yang masih belum ada diketahui puncanya.

Mahkamah di Kuantan mendapati Asni Omar, 39, yang mengendalikan kedai menjual pakaian mandi di pulau itu, bersalah membunuh Foray.

Selepas hukuman mati dijatuhkan, ibu Foray, Irene Mortel, dilihat bangun sambil melihat Asni dan menangis.

“Saya tidak berharap untuk apa-apa lagi. Itu sahaja … Saya tahu ia tidak boleh mengubah apa-apa,” katanya sebagai reaksi kepada keputusan itu sewaktu meninggalkan mahkamah bersama bapa Foray, Joel.

Dalam menyampaikan keputusan itu, hakim Mariana Yahya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, sambil menambah Asni telah “melemahkan pembelaannya sendiri” dengan hanya menyampaikan “cerita yang telah diatur” untuk menafikan kesalahannya.

“Oleh itu saya mendapati defendan bersalah sebagaimana yang dituduh. Terdapat hanya satu hukuman … iaitu mati dengan digantung,” katanya.

Asni, yang duduk di kandang tertuduh dengan rambut dicukur pendek dan memakai baju biru gelap dengan jalur putih dan seluar jeans, dipeluk oleh ahli keluarga yang menangis sebelum dibawa keluar dari mahkamah oleh polis.

Peguam Asni berkata mereka akan merayu hukuman itu.

Asni dituduh membunuh Foray, seorang pekerja perkhidmatan awam Perancis, selepas dia dikatakan menolak cinta Asni.

Pembunuhan Foray mengejutkan ramai orang di negara ini di mana jenayah kekerasan terhadap pelancong jarang berlaku.

Foray tiba di Malaysia pada Mei 2011 selepas berhenti berkerja dan menghabiskan beberapa bulan di India dan Sri Lanka. Mendiang kemudiannya ke Pulau Tioman sebelum hilang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.