Anggota Polis Maut, Empat Orang Awam Cedera Dalam Kemalangan

GUA MUSANG: Seorang anggota polis maut manakala empat orang awam cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di KM10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam.

Sarjan Sharudin Mohd Shah, 54, pemandu kereta polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada 7.15 malam selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 3.45 petang itu.

Mereka yang cedera ialah pemandu kereta Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, 27, dan tiga penumpang – Mohd Zaki Ramli, 31, Che Mohd Faizul Che Abdullah, 29, dan Mohd Nuhairi Mat Jusoh, 30. Kesemuanya dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku ketika Sharudin memandu kereta polis jenis Proton Preve berseorangan dalam perjalanan dari IPD Gua Musang ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini.

Kereta yang dipandu Sharudin dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua kereta menghala ke Gua Musang.

Sharudin meninggalkan seorang isteri dan empat anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 11 Ketereh, Kota Baharu hari ini.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/07/09/kemalangan/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.