KYIV, 9 Jun – Ukraine berdepan serangan udara paling dahsyat sejak perang bermula apabila Rusia melancarkan hampir 500 dron kamikaze jenis Shahed dan sekitar 20 peluru berpandu dalam satu serangan berskala besar yang bermula malam tadi dan berlarutan hingga awal pagi.
Menurut Tentera Udara Ukraine, pihaknya berjaya memintas 277 dron dan 19 peluru berpandu, namun terdapat sekurang-kurangnya 10 serangan yang berjaya menembusi sistem pertahanan, mengakibatkan kerosakan infrastruktur dan kecederaan kepada sekurang-kurangnya seorang mangsa.
Antara kawasan yang disasarkan termasuk pusat dan barat Ukraine, termasuk sebuah lapangan terbang tentera. Kerosakan yang berlaku dilaporkan terhad.
Dalam serangan balas, Ukraine mendakwa telah menyerang dua jet pejuang Rusia di pangkalan udara Savasleyka, namun tiada pengesahan rasmi daripada pihak Rusia.
Ukraine turut melancarkan serangan dron ke wilayah Voronezh, Rusia, yang dipercayai mensasarkan kemudahan peperangan elektronik negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, NATO mengerah jet pejuang dari Poland apabila serangan Rusia hampir melintasi sempadan NATO, menimbulkan kebimbangan terhadap perluasan konflik.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, turut mendedahkan bahawa Amerika Syarikat telah mengalihkan 20,000 peluru berpandu anti-dron yang sepatutnya dihantar ke Ukraine, ke Timur Tengah. Tindakan ini menimbulkan kebimbangan tentang kekurangan sistem pertahanan udara Ukraine di tengah-tengah gelombang serangan baharu ini.
Konflik yang semakin memuncak ini berlaku ketika rundingan damai masih terhenti, dan kedua-dua pihak terus bertukar-tukar serangan dan tawanan.