GERIK,– Seramai 15 orang maut manakala 29 lagi cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Gerik–Jeli), awal pagi ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kemalangan itu berlaku antara jam 12.30 hingga 1.00 pagi dan laporan diterima oleh pihak polis pada jam 1.00 pagi.
“Bas persiaran itu disewa khas oleh pelajar UPSI untuk perjalanan pulang dari Jerteh, Terengganu ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak. Ketika kejadian, cuaca dilaporkan baik namun lokasi kemalangan berada di kawasan jalan berliku dan menurun,” katanya semasa sidang media sebentar tadi.
Menurut beliau, bas tersebut membawa 42 pelajar UPSI terdiri daripada 32 perempuan dan 8 lelaki bersama seorang pemandu dan seorang kelindan. Bas berkenaan berdaftar di Kedah.
Sementara itu, MPV Alza yang terlibat dalam kemalangan tersebut dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka berusia enam dan tiga tahun.
“15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan ini. Daripada jumlah itu, 13 jenazah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, manakala dua lagi ke Hospital Gerik bagi proses bedah siasat dan pengecaman,” jelas beliau.
Daripada 29 mangsa yang cedera, 23 adalah pelajar perempuan, 4 pelajar lelaki serta pemandu dan kelindan bas. Kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital termasuk HRPB Ipoh, Hospital Gerik, Hospital Taiping dan Hospital Baling.
Menurut Datuk Noor Hisam, ada mangsa yang telah dibenarkan keluar hospital dan proses pengecaman jenazah masih dijalankan di HRPB dan Hospital Gerik.
Tambah beliau, pemandu bas masih dirawat dan belum dapat dirakam keterangan. Tiada kamera papan pemuka (dashcam) ditemui di dalam bas setakat ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami akan teliti pelbagai aspek termasuk tahap keletihan pemandu, kelajuan kenderaan serta keadaan jalan,” katanya.
Bas berkenaan dilaporkan bertolak dari Jerteh sekitar jam 9 malam, 8 Jun dan dijangka tiba di Tanjung Malim pagi ini, namun perjalanan berakhir dengan tragedi.
Pihak polis kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan pengurusan universiti bagi menyelaras urusan pengecaman serta bantuan kepada waris mangsa.