Pemuda Maut Ketika Cuba ‘Selamatkan’ Juadah Berbuka Puasa

KOTA KINABALU – Akibat cuba menyelamatkan kuih dibelinya terjatuh dari raga motosikal, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaiki hilang imbangan dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Lintas di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa, Harris Abdullah, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Lintas di sini, dikatakan pergi ke bazar Ramadan di Putatan untuk membeli kuih sebagai juadah berbuka puasa bersama rakan sekerjanya.

Ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya semula, mangsa dilihat cuba menyelamatkan plastik berisi kuih gelang yang baru dibelinya daripada terjatuh yang disimpan dalam raga motosikal yang ditungganginya.

Berikutan itu, motosikal Yamaha Lagenda 110 yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 di sini.

“Mayat mangsa sudah di hantar ke HQE 1 untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Kota Kinabalu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.