Video : Tempoh Seminggu Capai Sepakat Senarai Kepimpinan

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) memberikan tempoh seminggu bagi mencapai kata sepakat mengenai kepimpinan dan struktur gabungan mereka.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, gabungan itu telah mencapai banyak progres dalam mesyuarat hari ini.

“Minggu depan barisan kepimpinan utama akan diumumkan,” katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir pula berkata, partinya mencadangkan struktur berbeza daripada yang dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya, ia belum diputuskan dan yakin akan diselesaikan minggu hadapan sebelum pendaftaran PH dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Kita ada cadangkan struktur berlainan tetapi belum habis berbincang,” kata Mukhriz.

Menerusi senarai pucuk pimpinan PH yang tersebar, selain 3 pemimpin terbabit, Dr Wan Azizah dikatakan menjadi timbalan pengerusi PH, sementara timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden PH.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula dilantik sebagai naib presiden PH.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah turut memaklumkan calon perdana menteri yang akan mewakili pakatan pembangkang belum dibincangkan secara terperinci.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.