Trump Tawar Jernihkan Krisis Diplomatik Negara Teluk

DOHA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghubungi pemerintah Qatar kelmarin dan menawarkan bantuan menyelesaikan persengketaan antara Doha dan negara-negara jirannya.

Menurut AFP, panggilan Trump kepada Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, sekutu utama AS itu dibuat ketika pegawai kanan Qatar memberitahu AFP bahawa negara-negara Teluk tidak mahukan perubahan rejim di Doha.

“Presiden memberi tawaran untuk membantu pihak-pihak terbabit menyelesaikan pertikaian mereka termasuk melalui rundingan di White House jika perlu,” kata pejabat Trump selepas panggilan dibuat.

Sehubungan itu, seorang pegawai Qatar berkata, Trump semasa panggilan itu melahirkan kesediaan untuk mencari penyelesaian terhadap krisis diplomatik di Teluk dan menegaskan bahawa rantau itu akan kekal stabil.

Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Libya dan Yemen mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dan menutup hubungan darat, laut dan udara dengan Qatar. Malah, mereka memberi tempoh selama dua minggu untuk rakyat Qatar meninggalkan negara tersebut.

Dalam pada itu, kesemua negara itu juga telah menggantung semua penerbangan keluar dan masuk dari Qatar, memanggil pulang duta-duta dari Doha dan mengarahkan diplomat Qatar meninggalkan negara tersebut.

Arab Saudi dan sekutunya menuduh Qatar melindungi kumpulan pengganas dan menyokong agenda musuh tradisi Riyadh, Iran, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Doha.

Sementara itu, Kuwait turut berusaha untuk mencari penyelesaian bagi krisis tersebut.

Pemerintahnya, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah telah bertemu pemerintah UAE, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum dan lain-lain pegawai kanan di Dubai kelmarin selepas bercakap dengan Raja Salman di Arab Saudi sehari sebelum­nya.

Mereka dilaporkan menuju ke Qatar selepas lawatan ke UAE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.