‘Suami Digoda Depan Mata’ – Sarah Raisuddin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin mendedahkan pernah berdepan dengan sikap ‘gatal’ peminat wanita yang cuba menggoda suaminya, Shuib Sepahtu walaupun tahu status pelakon, pelawak dan penyampai radio itu.

Walaupun perbuatan itu sangat menjengkelkan, namun, kata Sarah, dia lebih selesa bertenang tatkala berdepan situasi yang menguji kesabarannya itu.

“Secara jujurnya, perkara ini pernah berlaku di depan mata Sarah apabila ada peminat cuba menggoda Shuib. Bagaimanapun Sarah tak adalah sampai tahap nak pergi menyerang peminat terbabit.

“Sarah seorang yang percaya pada jodoh dan kalau jodoh itu memang milik kita, Insya-Allah tiada apa yang akan berlaku,” katanya.

Tegas penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Kesetiaan ini, dia yakin Shuib setia dan tahu tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.

“Ada Shuib tunjukkan pada Sarah mesej nakal yang diterima daripada peminat. Sarah baca saja. Insya-Allah Sarah tidak pernah meragui kesetiaannya,”ujar wanita berusia 32 tahun ini.

Mengulas bentuk tubuhnya yang semakin langsing, pemenang tempat kedua Gegar Vaganza (GV) musim ketiga ini mengaku menurunkan berat badan atas faktor kesihatan.

“Arwah ibu pernah menghidap kencing manis jadi Sarah kena berhati-hati dalam menjaga pemakanan. Berat Sarah pernah mencecah sehingga 70 kilogram dan ia sangat merisaukan Sarah kerana menyukarkan diri ini bergerak.

“Sarah kurus kerana mahu menjaga kesihatan dan bukannya menjaga badan disebabkan bimbang suami dikacau wanita lain,” katanya.

Malam tadi, Sarah dan beberapa artis menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music di sebuah hotel, di sini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.