Qatar Jadi Mangsa Komplot Terancang

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menyambut ketibaan Trump ketika Presiden AS itu menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan AS di Riyadh baru-baru ini.

Arab Saudi, Mesir, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Yemen dan Libya mengambil keputusan drastik setelah mendakwa Doha menyokong pergerakan pengganas Islam termasuk gagasan Ikhwan Muslimin selain dilihat menjalinkan hubungan toleransi dengan Iran yang merupakan musuh Arab Saudi.

Arab Saudi yang mengetuai tindakan itu telah menutup semua pintu sempadan darat, air dan udara dengan Qatar.

Sehubungan itu, ruang udara dan laluan laut turut menerima kesan apabila syarikat penerbangan utama Arab Saudi dan UAE mengumumkan untuk menghentikan penerbangan ke Doha.

“Ini merupakan krisis politik yang sangat serius pernah berlaku di rantau ini.

“Wujud dua aspek dalam krisis ini iaitu politik dan ekonomi. Kedua-duanya memberi tekanan yang hebat kepada Qatar,” kata koresponden kanan Al Jazeera di Asia Barat, Hashem Ahelbarra.

Situasi terbaharu itu dianggap sebagai paling buruk melanda negara-negara Teluk selepas kewujudan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sejak tahun 1981.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas krisis itu berlaku memberitahu, tindakan keenam-enam negara tersebut merupakan suatu yang tidak adil dan hanya berasaskan kepada andaian serta salah anggapan.

Agenda tersembunyi

“Qatar mengambil serius terhadap apa yang berlaku. Ia jelas menunjukkan terdapat agenda tersembunyi untuk melemahkan negara ini,” menurut kementerian itu.

Qatar pernah menjadi sebuah negara termiskin di rantau Teluk sebelum muncul sebagai antara negara terkaya pada masa ini.

Kini, Qatar dikenali sebagai negara Arab moden yang memiliki bangunan pencakar langit yang canggih dan berdiri megah.

Doha yang merupakan ibu negara itu pula adalah bandar yang kaya dengan sumber minyak mentah.

Negara itu juga telah menggunakan pendapatan yang diperoleh daripada simpanan gas asli besar miliknya untuk membangunkan ekonomi selain mencapai cita-cita globalnya termasuk turut memenangi bidaan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2022.

Berkeluasan kira-kira 11,571 kilometer (km) persegi dengan jumlah penduduk sekitar 2.7 juta orang, Qatar sememangnya sebuah negara yang kerdil berbanding jirannya, Arab Saudi yang memiliki keluasan 2,149,690km persegi dengan kepadatan penduduk mencecah 30 juta.

Bagaimanapun, Qatar memiliki kekuatan dari segi ekonomi. Malah, ia hampir menyamai kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh Arab Saudi selain muncul sebagai antara pengeluar minyak mentah utama dunia dengan membekalkan kira-kira 30 peratus keperluan gas asli cecair global.

Persoalannya, jika Qatar merupakan antara negara terkaya di rantau Teluk, mengapa negara-negara Arab yang lain termasuk Arab Saudi tidak menggunakan kesempatan itu untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pakatan yang kuat dan digeruni di dunia sama ada dari segi ketenteraan mahupun penguasaan ekonomi global?

Apakah yang mendorong kesemua negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar?

SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha selepas banyak penerbangan dibatalkan ekoran krisis yang berlaku.

TINDAKAN enam buah negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Isnin lalu dianggap sebagai satu krisis politik terburuk di rantau Asia Barat.

Bukan kali pertama

Sebenarnya, krisis yang berlaku sejak Isnin lalu bukanlah yang pertama kali dihadapi oleh Qatar dengan negara Arab yang lain terutamanya Arab Saudi.

Pada Mac 2014, Arab Saudi, UAE dan Bahrain pernah mengambil tindakan mengarahkan kedutaan mereka meninggalkan Qatar.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik ketika itu atas alasan Qatar menyokong gerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna.

Bagaimanapun, hubungan diplomasi antara negara itu pulih lapan bulan kemudian apabila Qatar memaksa beberapa ahli Ikhwan Muslimin meninggalkan negara itu.

Sejak itu, Qatar lantang menyuarakan pendirian dan menafikan bahawa negara tersebut membiayai kumpulan pengganas walaupun pada masa sama mereka masih menjadi penaja utama kepada gerakan Hamas selain melindungi pegawai Hamas dalam buangan, Khaled Mashaal sejak tahun 2012.

Para pegawai dari negara Timur pula menuduh Qatar memberi galakan dalam bentuk dana kepada pengganas Sunni seperti al-Qaeda yang mempunyai cawangan di Syria yang dikenali sebagai Nusra Front.

Secara teorinya, ramai yang berpendapat, krisis terbaharu yang berlaku itu sebenarnya tidak jauh beza dengan apa yang tercetus pada tahun 2014.

Pemutusan hubungan diplomatik yang berlaku itu antara lain adalah berpunca daripada sikap pragmatik Qatar yang terus menjalinkan hubungan dengan Iran selain rentak politik mereka yang lebih berkiblatkan Turki.

Ia juga adalah respons kepada krisis negara Teluk yang berlanjutan sejak sekian lama di samping hegemoni Amerika Syarikat (AS) yang mula menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara Arab.

Malah, krisis terbaharu itu juga berlaku kira-kira dua minggu selepas Presiden AS, Donald Trump melakukan lawatan ke Asia Barat untuk memeterai kontrak pertahanan utama bersama Arab Saudi yang dianggar bernilai sekitar AS$110 bilion (RM469.42 bilion).

Kunjungan itu turut membawa kepada penubuhan Institut Antipengganas di Riyadh dan ia dilihat selari dengan pendirian Trump yang menganggap gagasan Ikhwan Muslimin sebagai pengganas.

Gesaan Presiden AS yang mahu negara-negara Arab bersatu menentang Iran juga turut disokong oleh Arab Saudi yang sememangnya memusuhi negara berkenaan, lapor Kosmo.

PENDUDUK Qatar melakukan pembelian panik sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terputus bekalan makanan selepas Arab Saudi menutup semua pintu sempadan dengan negara itu.

Perjanjian minyak

Keserasian antara Arab Saudi dengan AS dilihat sangat bertentangan dengan sikap Qatar yang melindungi pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin.

Dengan erti kata lain, apabila Arab Saudi memperkukuh hubungan dengan AS dan Qatar menganggap AS bukan lagi sekutu yang boleh dipercayai, ia menjadi punca krisis itu berlaku meskipun pangkalan tentera AS terbesar di Asia Barat terletak di Qatar.

AS juga mungkin tidak senang hati apabila Qatar dan Rusia memeterai perjanjian minyak melibatkan Rosneft dengan Qatar selain pelaburan yang dibuat oleh Doha di dalam projek pembinaan lapangan terbang Pulkovo St. Petersburg sedangkan hubungan AS dengan Rusia kini semakin tegang.

Tindakan Qatar melindungi ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr. Yusuf Al Qaradhawi yang sangat lantang dalam menyokong Arab Spring selain membantu perjuangan Ikhwan Muslimin juga mungkin antara sebab yang mendorong kepada krisis itu.

Perkembangan itu mencetuskan bermacam-macam reaksi daripada pelbagai negara di dunia dan rata-rata berpendapat ia perlu diselesaikan dengan segera.

“AS akan mencadangkan agar kesemua pihak yang terlibat untuk duduk semeja dan menyelesaikan perbezaan pendapat yang timbul.

“Sekiranya pendapat kami diperlukan, kami mencadangkan agar GCC memainkan peranan untuk mencari kaedah menyatukan semua pihak,” kata Setiausaha AS, Rex Tillerson ketika bercakap pada satu program di Australia.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu juga memberi pandangan yang sama.

“Kami melihat kestabilan di rantau Teluk sebagai satu cerminan kepada kesatuan dan solidariti negara-negara di sekelilingnya.

“Setiap negara pasti akan berhadapan dengan isu-isu tertentu tetapi dialog mesti diteruskan dalam apa juga keadaan sebagai usaha mewujudkan keamanan.

“Kami sangat sedih dengan apa yang berlaku ketika ini dan akan memberi sokongan penuh untuk mengembalikannya kepada keadaan sedia kala,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.