Pondok Lebih 10 Tahun Disaran Semak Pendawaian Elektrik

Pusat pengajian pondok yang beroperasi melebihi tempoh 10 tahun disaran menyemak kembali sistem pendawaian masing-masing, kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Datuk Ir Md Yuslan Md Yusof.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil bagi mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini terutama membabitkan litar pintas akibat kebocoran pada wayar elektrik.

“Kita sedia memberi khidmat nasihat kepada mana-mana pusat pengajian pondok yang ingin membuat pendawaian semula tempat tinggal pelajar bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Jika ingin menggunakan khidmat kontraktor pula, pengurusan pondok diminta menyemak kontraktor tersebut sama ada berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi mengelak mereka menggunakan khidmat kontraktor tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan TNB Tahun 2017/1438H peringkat Kelantan yang turut dihadiri Naib Presiden Bahagian Penjanaan, Ibu Pejabat TNB Datuk Zainudin Ibrahim di Pondok Gelang Mas di Pasir Mas malam tadi.

Md Yuslan mengulas mengenai kebakaran membabitkan pelbagai pusat pengajian itu di negeri ini, sejak beberapa tahun lepas, yang antaranya disebabkan litar pintas.

Beliau berkata selain pendawaian, barangan elektrik yang mempunyai aspek pemanas seperti seterika dan cerek elektrik turut dikenal pasti antara punca menyebabkan litar pintas.

Katanya ia berlaku kerana barangan elektrik itu menggunakan beban tenaga yang tinggi, dan jika pendawaian kurang sempurna boleh memudahkan litar pintas berlaku.
Sementara itu, Zainudin berkata TNB memberi sumbangan RM150 kepada setiap 50 pelajar dalam kalangan asnaf yang belajar di pondok berkenaan.

Beliau berkata ia merupakan tahun keempat TNB Kelantan mengadakan majlis berbuka puasa di pondok-pondok di sekitar negeri ini, bagi mengeratkan hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dan masyarakat setempat.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.