Polis Siap Siaga Walaupun Himpunan Jubli Jerusalem Dibatalkan

MELAKA – Polis sentiasa bersiap siaga walaupun Himpunan Jerusalem’s Jubilee, yang dijadualkan berlangsung di negeri ini pada 15 hingga 18 Jun, sudah dibatalkan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata anggota pihak berkuasa itu akan memantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang cubaan oleh pihak tertentu untuk berhimpun di lokasi terbabit.

“Pembatalan himpunan ini diputuskan sebaik polis mengadakan perbincangan dengan penganjur. Mereka sendiri memutuskan untuk membatalkannya selepas mengambil kira pandangan dan bantahan,” katanya.

Beliau berkata, 33 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, yang membantah penganjuran Himpunan Jerusalem’s Jubilee di Melaka.

Beliau ditemui pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abdul Jalil turut memperkenalkan pegawai kanan baharu yang melaporkan diri di IPK negeri, termasuk Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Arshad Abu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.