PM dan TPM Sertai Majlis Berbuka Puasa UMNO Di PWTC


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri majlis berbuka puasa anjuran UMNO bersama kira-kira 1,200 pemimpin dan ahli di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Majlis dihadiri kepemimpinan tertinggi UMNO, ahli dan veteran UMNO, pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) serta golongan kurang bernasib baik.

Najib yang juga Presiden UMNO bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sabak Bernam serta Rumah Anak-Anak Yatim Titian Kasih Kuala Lumpur.

Turut hadir, Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Program bermula dengan tazkirah ringkas oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Program berbuka puasa dimulakan dengan azan Maghrib oleh bilal Masjid Kampung Baru, Izwan Mohamad, sebelum Najib bersama tetamu bergerak ke Dewan Tun Razak 4 bagi menunaikan solat Maghrib.

Najib dijadual menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih yang diimamkan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, Shahrizal Abdul Kadir. – BH


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.