Misbun Kembali Ke Pangkuan BAM

Persatuan Badminton Ma­laysia (BAM) sah ‘merujuk’ kembali khidmat bekas ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek bagi membimbing skuad perseorangan lelaki negara bermula pada awal bulan depan kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata, legenda badminton negara itu bakal kembali dengan jawatan lamanya sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dengan kontrak dijangka selama dua tahun.

“Misbun secara dasar bersetuju dengan tawaran BAM dan akan dilantik menjadi ketua jurulatih perseorangan lelaki yang baharu. Dia bukan sahaja me­latih Datuk Lee Chong Wei tetapi akan melatih pemain perseorangan lelaki yang lain.

“Misbun tahu apa yang perlu dia lakukan untuk melahirkan sang juara, malah pengalamannya dalam bidang kejurulatihan sudah terbukti mampu melahirkan jaguh dunia. Malah, kita juga sangat memerlukan jurulatih yang dihormati oleh semua pemain dan jurulatih, terutamanya Lee Chong Wei.

“Saya sudah bercakap dengan semua orang apabila saya memegang tampuk ini (presiden), saya mahu satu situasi yang harmoni. Chong Wei, Frost dan semua orang bersedia untuk be­kerja bersama-sama.

“Perkara lepas, semua sudah berlalu dan mereka bersedia untuk membuka buku baharu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T), BAM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam, lapor Kosmo.

Sebagai rekod, Misbun pernah dilantik sebagai jurulatih perseorangan negara pada 2002 dan melepaskan jawatan tersebut pada 2011 selepas berjaya membentuk Chong Wei muncul sebagai pemain No. 1 dunia.

Sehubungan itu, selain Misbun, beberapa pe­ranan jurulatih BAM turut dirombak secara drastik dalam usaha untuk memantapkan skuad badminton negara bagi mencapai sasaran juara Piala Thomas 2018.

“Berdasarkan kertas cadangan yang dibentangkan oleh Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM), kita disasarkan untuk menjadi juara Piala Thomas 2018. Justeru, untuk memastikan impian tersebut dicapai, kita perlu memiliki skuad yang kuat. Saya yakin perubahan yang dilakukan ini adalah satu kombinasi yang bagus dan tepat.

“Kita turut meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk meraih emas pertama acara badminton pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.