Kanak-kanak Ini Dibuang Keluarga Kerana Lahir Tanpa Bibir Dan Dagu

Seorang kanak-kanak perempuan yang dilahirkan tanpa bibir dan dagu telah diperlakukan dengan kejam apabila dia dibuang oleh kebanyakan saudara-maranya sendiri.

Darina Shpengler, 3, yang menetap di Siberia, dilahirkan tanpa hampir separuh mukanya dan mukanya itu diseliputi darah. Keadaan berkenaan tidak dapat dijelaskan oleh pakar perubatan.

Disebabkan keadaan itu, dia dihina oleh orang ramai. Hanya ibu bapanya, Elena dan Yury yang menerima anak mereka itu seadanya dan ditatang dengan penuh kasih sayang.

“Hanya adik perempuan saya yang menyokong saya. saudara mara aang lain termasuk abang-abang dan anak saudara tidak mahu menerima Darina.

“Malah pada satu tahap mereka membuat laporan kepada polis bahawa kami sengaja merosakkan mulut Darina hingga menyebabkan kami terpaksa memberikan penjelasan kepada pihak berkuasa,” kata Elena, yang menetap di Krasnoyarsk.

Disebabkan keadaan itu keluarga itu terpaksa berpindah ke tempat lain dan Elena serta Yury juga tidak mahu menyembunyikan anak mereka. Darina juga tidak diterima untuk belajar di taska disebabkan wajahnya itu.

Pakar bedah kini sedang berusaha untuk membina semula muka anak kecil itu dan dia perlu menjalani pembedahan setiap dua tahun.

Pembedahan kali pertama melibatkan usaha doktor menjahit mulutnya agar ia lebih kecil. Pakar bedah kini merancang untuk membuat bibir dan mengembangkan tulang serta otot untuk dagunya.

Darina dilahirkan tidak cukup bulan iaitu tujuh bulan dan ketika itu Elena mula berasa ada yang tidak kena dengan anaknya apabila anak perempuan mereka dihalang daripada ditunjukkan kepadanya.

“Darina dibalut seluruh badan dan apabila saya mahu melihatnya, jururawat bertanya sama ada saya sudah bersedia. Tatkala melihat wajahnya, saya pengsan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

“Doktor menyuruh kami meninggalkan sahaja Darina di hospital. Namun suami saya yang ketika itu dirawat di hospital sama akibat kemalangan memujuk saya dan memberitahu ini adalah anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, pakar bedah Orest Topolnitsky mengecam pihak-pihak yang tidak berhati perut dengan menghina Darina.

“Kanak-kanak ini di hospital kami. Ia adalah kes yang amat jarang. Banyak badan amal enggan membantu dengan alasan dia akan meninggal dunia.

“Kami ambil risiko dan membedahnya dengan menggunakan insuran kerajaan secara percuma. Tetapi kanak-kanak ini perlukan lebih banyak pembedahan.

“Kami telah lakukan pembedahan pertama dan ia sangat berisiko kerana kanak-kanak ini sangat kecil dan sebarang pendarahan boleh mengancam nyawanya. Kami tahu anak ini mengalami masalah dengan saudara-maranya sejak awal lagi. Mereka ini tiada hati perut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.