‘Doktor Ganja’ Hadapi 36 Tuduhan Berkaitan Dadah

KLANG – Seorang pesara tentera dihadapkan ke tiga mahkamah berasingan hari ini, atas 36 tuduhan berkaitan dadah, termasuk 14 tuduhan mengedar.

Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 58, atau dikenali ‘Dr Ganja’ menghadapi 14 tuduhan mengedar ganja dengan anggaran berat kasar 97,995 gram di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam di sini, jam 12.30 tengah hari, 26 Mei lalu.

Semua tuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad dan tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama gantung sampai mati.

Di depan Hakim Suzana Hussin pula, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 18 tuduhan menanam 18 tumbuhan disyaki ganja yang boleh didapati sama ada secara langsung atau sebaliknya di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi 18 tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi terhadap dua tuduhan memiliki ganja dengan anggaran berat kasar 55 gram, satu pertuduhan memasukkan kanabis ke dalam badannya dan satu tuduhan memiliki perkakas yang digunakan untuk menghisap dadah itu.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, jam 12.30 tengah hari dan 10 malam, 26 Mei lalu.

Keempat-empat tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 10 (2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Amiruddin tidak dibenarkan jaminan di tiga-tiga mahkamah manakala 28 Julai depan ditetapkan sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali, Aliah Atiqah Razali dan Rizal Azani Zainal Adzam, manakala tertuduh diwakili peguam Farhan Maaruf. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.