Akhbar AS Minta Maaf Kaitkan Selebriti Hollywood Dengan Dana 1MDB

PETALING JAYA – Majalah Page Six milik New York Post memohon maaf secara rasmi kepada pereka fesyen, Kimora Lee Simmons dan menarik balik laporan itu di laman webnya yang mendakwa jenama fesyennya dikaitkan dengan satu siasatan rasuah di Malaysia.

Menurut Hollywood Reporter, laporan itu bertajuk: “Kimora Lee Simmons’ fashion line at centre of corruption probe”.

Ia ditulis Richard Johnson dan disiarkan pada 24 Mei lalu.

Bagaimanapun, pada 7 Jun lalu, 1 nota pengarang yang disiarkan di laman web itu berkata: “Cik Simmons menasihatkan kami mengenai beberapa kenyataan tidak benar, khususnya: jenama fesyen beliau dibiayai dirinya; syarikatnya meraih keuntungan; syarikatnya menjual produknya di pelbagai gedung; dan beliau atau syarikatnya tiada kaitan dengan apa jua “siasatan rasuah” di Malaysia.

“Kami memohon maaf kepada Cik Simmons atas sebarang kesilapan,” menurut kesimpulan kenyataan itu.

Artikel ditulis Johnson itu mendakwa suami Kimora, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner membiayai pelancaran jenama fesyennya.

Leissner mengendalikan transaksi untuk 1MDB yang kini disiasat pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang di beberapa negara.

Menurut laporan itu, Goldman Sachs menerima bayaran terlalu tinggi untuk penjualan bon 1MDB dan pendakwa raya mungkin berusaha mendapatkan semula komisen itu.

Ketika bercakap mengenai laporan mengaitkannya dengan siasatan 1MDB, Kimora memberitahu Los Angeles Times: “Saya sudah berada dalam bidang ini agak lama. Saya seorang perempuan tua, jadi saya sentiasa berdikari dan biaya sendiri.

“Saya biaya perniagaan sendiri…saya sudah berada dalam industri fesyen sejak 12 (tahun), menjadi model dan sebagainya. Jadi, semua wang saya, bukan saya mahu cakap seperti itu, ini ialah perkahwinan ke-3 saya, suami saya tiada kaitan dengan hidup profesional saya.”

Laporan New York Post menyusul laporan Bloomberg pada 28 April lalu mengenai pendakwa raya Amerika Syarikat yang menyiasat peranan Kumpulan Goldman Sachs Inc dalam mengumpul hampir AS$6 bilion untuk dana pelaburan 1MDB milik kerajaan malaysia, mempersoalkan aliran wang itu melalui akaun dikaitkan dengan Leissner.

Menurutnya, mereka menemuramah pegawai bank yang biasa dengan 1MDB mengenai rangkaian hubungan Leissner, khasnya rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan politik. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.