Abam Jual Seluar Jeans

KUALA LUMPUR: Sering diaju persoalan mengenai persalinan bersaiz besar yang digayakan, pelawak Abam bakal tampil dengan koleksi jeans keluarannya, tidak lama lagi.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 28, memberitahu BH Online, dia mendapat inspirasi membantu golongan bertubuh gempal dan gemuk bergaya dengan selesa.

“Selama ini, ramai yang bertanya di mana saya mendapatkan jeans dan baju bersaiz besar. Jadi saya tergerak hati menghasilkan sendiri pakaian itu. Saya akan tampil dengan koleksi jeans sendiri untuk individu bertubuh besar.

“Buat masa ini, koleksi seluar denim yang ada hanya dua jenis. Seluar jeans ini diperbuat daripada fabrik yang boleh diregangkan untuk keselesaan pemakai.

“InsyaAllah, saya bakal melancarkan koleksi ini sehari dua lagi,” katanya yang sudah mempromosikan produk keluarannya itu di laman sosial.

Abam menambah, koleksi jeans yang diberi nama Abam itu bermula dari saiz 38 inci hingga 58 inci dan berharga kurang RM200.

“Saya faham masalah yang sering dihadapi mereka yang berbadan besar seperti saya. Saya harap koleksi pakaian saya ini dapat membantu mereka,” katanya.

Selain itu, Abam turut menjual kuih tart dan popiah mini udang pedas sempena Aidilfitri. Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Abam berkata, dia akan muncul dalam program Serupa Tapi Tak Sama yang akan disiarkan TV3 pada Aidilfitri.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.