Kerosakan Serius Di Selatan Gunung Kinabalu

RANAU – Pihak berkuasa Taman-Taman Sabah (TTS) mengesan kerosakan serius di bahagian selatan Gunung Kinabalu yang mengadap pekan Kundasang akibat gempa bumi, Jumaat lalu.

 

Pengarahnya, Dr Jamili Nais berkata, tinjauan udara yang beliau lakukan awal pagi tadi mendapati banyak kesan ‘cakaran’ di tebing gunung bahagian terbabit.

 

Beliau berkata, ada juga pembentukan aliran menyerupai air terjun besar ditemuinya di kawasan itu.

 

“Kawasan seperti air terjun yang bermula dari puncak menuruni gunung antara ‘Donkey Ears’ dan ‘Tunku Abdul Rahman

 

Peak’ itu saya namakan ‘sungai batu’ kerana banyak serpihan batu besar di dalamnya. “Kesan seperti dicakar itu pula dipercayai akibat batu besar yang jatuh menggelongsor di tebing gunung,” katanya pada sidang media di Taman Kinabalu di sini, lewat petang tadi.

 

Jamili berkata, tinjauan sekeliling gunung itu mendapati hanya kerosakan kecil berlaku di bahagian barat dan timur.

 

“Saya akan membuat tinjauan lanjut untuk meneliti kesan kerosakan itu terhadap faktor keselamatan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kabus tebal menyebabkan kesukaran operasi mencari dan menyelamat hari ini.

 

“Kita menggerakkan tiga helikopter pada jam 6 pagi, namun kabus tebal menyukarkan pesawat terbabit mendarat di Laban Rata.

 

“Kita turut menggerakkan pasukan pejalan kaki yang mendaki gunung bermula awal pagi namun kabus tebal serta runtuhan batu akibat gegaran kecil membuat pasukan seramai 12 anggota itu gagal menghampiri lokasi pencarian yang disasarkan iaitu di Kilometer 6.8,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.