1MDB Bayar Balik 
Pinjaman Berjumlah AS$975 juta

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah membuat bayaran penuh pinjaman berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion) kepada satu sindiket bank-bank antarabangsa selari dengan pelan rasiona­lisasi yang diluluskan oleh Kabinet.

 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, pembayaran semula itu membuktikan komitmen syarikat dalam mengurangkan paras hutangnya.

 

“Pada 29 Mei, Kementerian Kewangan mengumumkan rancangan 1MDB untuk membayar pinjaman berjumlah AS$975 juta kepada sindiket bank-bank antarabangsa berkenaan.

 

“Hari ini kami gembira untuk mengesahkan bahawa pinjaman itu sudah dibayar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada 29 Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dilaporkan berkata, 1MDB akan me­­nerima dana pelaburan berjumlah RM3.6 bilion menerusi perjanjian yang dimeterai antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan anak syarikat pelaburan Abu Dhabi, Aabar Investment (Aabar).

 

Menurut Ahmad Husni, menerusi perjanjian itu, IPIC akan membuat bayaran sebanyak RM3.6 bilion pada atau sebelum 4 Jun ini dan dana itu akan digunakan 1MDB bagi membayar balik pinjamannya.

 

Beliau berkata, bayaran balik pinjaman itu akan dibuat lebih awal daripada tarikh akhir se­perti ditetapkan bank peminjam. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.