Jenazah Wanita Islam, Hampir Dikebumikan Ikut Agama Budha

Georgetown – Berlaku kekeliruan mengenai status agama seorang wanita, Teoh Cheng Cheng apabila keluarganya yang bersedia untuk melakukan pengebumian mengikut upacara agama Buddha, tiba-tiba diberitahu bahawa si mati sebenarnya beragama Islam.

Cheng Cheng, 38, meninggal dunia Jumaat lalu.

Menurut sepupu Cheng Cheng, Teoh Choo Chew, mayat wanita itu sepatutnya diarak jam 4 petang Isnin tetapi dua jam sebelum itu, seorang anggota polis berpangkat koperal tiba di di apartment mereka di Taman Pelangi, Lebuh Maccallum di mana jenazah Cheng Cheng diletakkan.

Mereka diberitahu upacara pengebumian itu tidak boleh dijalankan kerana Cheng Cheng telah memeluk agama Islam semasa hayatnya.

“Ibu Cheng Cheng, Tan Mah Suan hampir pengsan selepas mendengar berita itu dan kami meminta anggota polis itu menyerahkan dokumen mengenai pengislaman Cheng Cheng tetapi dia gagal berbuat demikian.

“Tidak lama kemudian, sekumpulan pegawai dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tiba.

“Saya terus menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota, Lau Keng Ee yang kemudian membuat semakan dengan Jabatan Agama Islam. Dia mengesahkan Cheng Cheng memeluk agama Islam ketika berusia 20 tahun dan tidak memaklumkan kepada kami. Nama Islamnya adalah Nora Cheng Cheng,” katanya.

Menurut Teoh, Cheng Cheng pernah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki ketika berusia 19 tahun dan dipercayai mereka berkahwin setahun kemudian.

“Dia sangat mencintai lelaki berkenaan walaupun keluarga menghalang tetapi akhirnya kami mengalah, tetapi tidak tahu dia menukar agama,” katanya.

Teoh mempersoalkan tindakan JAIPP yang hanya bertindak apabila mayat sudah hendak dibakar dan upacara pengebumian hampir dilakukan.

“Mereka tidak sepatutnya mengambil masa yang lama dan memberitahu kami. Kami rasa seperti orang bodoh tetapi akan mengambil tindakan mengikut undang-undang Syariah,” katanya.

Jenazah Cheng Cheng kemudian dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke bilik mayat Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 4 petang diringi tangisan anggota keluarga dan saudara.

Suaminya tidak kelihatan di lokasi.

Dipercayai Cheng Cheng membunuh diri selepas mendapati suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.