KUALA LUMPUR – Amanah Melaka menyokong cadangan DAP supaya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding masing-masing 14 kerusi pada PRN akan datang bagi memastikan keadilan semua pihak terjamin.
Ketuanya Ashraf Mukhlis Minghat berkata, segala cadangan berhubung agihan kerusi sepatutnya diterima dengan minda terbuka dan dibincangkan dengan cermat, bukan terus menolak.
“Ada pihak rakan-rakan yang begitu sombong dan angkuh apabila cadangan ini ditimbulkan dan menolaknya mentah-mentah serta mendabik dada.
“Hakikatnya, walaupun BN Melaka menang besar pada PRN 2021, PH Melaka turut menunjukkan prestasi dan undi yang lebih baik semasa PRU15,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, berkata BN tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu, susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘9 cawangan DAP Melaka’ meluluskan strategi ’14BN+14PH’ pada PRN Melaka akan datang.
Sembilan cawangan itu adalah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.
Dalam kenyataan bersama, semua cawangan menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 DUN Melaka, selari semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Pecahan kerusi DUN Melaka ketika ini adalah BN (21), PH (5) dan PN (3).
Hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee, mencadangkan Akmal membuat ‘usul rasmi’ bagi membantah cadangan agihan kerusi sama rata jika PH dan BN bekerjasama pada PRN akan datang.
Sementara itu, Ashraf berkata perbezaan ketara jumlah undi kedua-dua pilihan raya tersebut patut dijadikan pendorong untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bukan terus angkuh dengan kedudukan semasa.
“Sekiranya BN tidak boleh bersikap terbuka dan terus dibuai mimpi lama, kekuatan perpaduan yang ada barangkali akan tergadai dan hanya akan memanfaatkan musuh utama, Perikatan Nasional (PN) yang berjaya meraih tiga kerusi Parlimen di Melaka sebelum ini.
“Kemaraan PN di Melaka boleh dikendurkan dengan kerjasama PH-BN,” katanya.
Beliau berkata, PH selaku rakan politik baik tidak pernah cuba membuat kekacauan dalam kerjasama politik dan komitmen itu turut terbukti dengan pemberian laluan kepada calon BN di kerusi DUN Lenggeng pada PRN lalu walaupun ia dimenangi parti itu.