Cyberjaya – Selepas 24 tahun menyepi, naskhah teater penuh makna “Suluh Peraba” kembali membakar pentas — kali ini bukan sekadar menghidupkan karya agung, tetapi membawa mesej tajam menyindir masyarakat yang terus larut dalam kepercayaan sesat dan pemikiran tidak rasional.
Dipentaskan pada 16 Mei (8.30 malam) serta 17 Mei 2025 (2.30 petang & 8.30 malam) di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, teater ini merupakan adaptasi novel karya Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, dengan skrip yang pernah digarap oleh Allahyarham Zakaria Ariffin dan kini diarahkan oleh Subroto Hj. Katimin. Persembahan istimewa ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) bersama DBP.
Lebih daripada sekadar persembahan seni, “Suluh Peraba” adalah refleksi tajam terhadap masyarakat yang masih terjerat dalam kepercayaan karut dan amalan perbomohan. Mengangkat tema konflik antara rasional dan tahyul, naskhah ini mengisahkan Asmal dan Odai, dua watak utama yang menubuhkan kelab anti-tahyul — namun akhirnya terperangkap dalam jerat yang mereka tentang sendiri.
“Suluh Peraba sangat dekat di hati saya…” ujar pengarah Subroto Hj. Katimin yang pernah terlibat dalam produksi asal pada tahun 2001. “Ini bukan hanya adaptasi karya hebat, tetapi satu penghormatan buat arwah Zakaria Ariffin yang baru sahaja meninggal dunia Februari lalu.”
Yang membezakan pementasan kali ini adalah keberanian pengarah mengangkat latar zaman ke tahun 2025, menjadikan isu yang diangkat lebih relevan dengan masyarakat hari ini. Namun, kata Subroto, “roh dan mesej asal tetap dikekalkan — kita mahu penonton bukan sekadar terhibur, tetapi juga terjentik untuk berfikir.”
Dengan pendekatan satira komedi, teater ini menggunakan elemen visual simbolik dan estetika mistik sebagai bahasa sindiran terhadap kepercayaan yang tidak berlandaskan ilmu dan syarak.
“Kita masih melihat fenomena masyarakat yang mempercayai bomoh, tangkal, ramalan. Ini bukan perkara kecil — ia lambang bagaimana kita boleh tersesat berfikir jika tidak berpaksikan ilmu dan agama,” jelas Subroto.
Selain menyampaikan teguran halus terhadap masyarakat, Subroto juga berharap pementasan ini mampu membuka mata generasi muda agar lebih kritikal dalam menilai kepercayaan yang diwarisi secara membuta tuli. “Kita mahu anak muda hargai budaya Melayu, tetapi yang berteraskan nilai dan ajaran Islam, bukan kepercayaan songsang.”
“Suluh Peraba” bukan sekadar pentas hiburan — ia adalah suara peringatan, seruan kesedaran, dan sindiran halus terhadap pemikiran yang gelap dan menyesatkan.